Friday, July 27, 2007

CIRI-CIRI TAQWA :




1. Ingat dua perkara
2. Lupa dua perkara
3. Menyukai apa yang Allah suka
4. Membenci apa yang Allah benci


1.Ingat Dua Perkara

Pertama:

Kebaikan, jasa dan budi orang kepada kita perlu diingat selalu dan sekiranya berpeluang, maka eloklah disebut-sebut dan dibalas walaupun balasan itu tidak setimpal

Lebih-lebih lagilah kita perlu ingat dan mensyukuri segala nikmat dan limpah kurnia Allah SWT kepada kita yang tidak terhingga banyaknya.

Firman Allah SWT:

”Waamma bini’matihi rabbika fahaddith’.

Maksudnya:

”Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (sebagai tanda bersyukur).” (Adh Dhuha:11)

Ini supaya kita terasa terhutang budi dan berterima kasih kepada orang yang berbuat baik dan berjasa kepada kita.

Tentulah terhadap Allah, lebih-lebih lagi patut kita rasakan sedemikian. Memang patut kita taat dan bersyukur kepada Allah, dengan membuat amal kebajikan biarpun segala amalan itu tidak mungkin setimpal dengan kurniaan Allah.

Kedua:

Kesalahan kita kepada orang lain hendaklah sentiasa kita ingat dan kita minta maaf daripadanya. Ingat selalu tentang kesalahan diri agar kesalahan itu tidak diulangi. Rasa bersalah itu penting kerana rasa itulah yang mendorong kita meminta maaf.

Itu terhadap kesalahan kita terhadap sesama manusia. Lebih-lebih lagilah kita perlu ingat dosa-dosa dan kederhakaan kita kepada Allah. Kita iringi ingatan kepada dosa-dosa itu dengan bertaubat. Kekalkan rasa berdosa itu supaya kita terhindar dari terbuat dosa-dosa yang lain dan hati kita sentiasa takut dan berharap agar Allah ampunkan dosa kita.

2. Lupa Dua Perkara

Pertama:

Lupakan segala budi, jasa dan kebaikan kita kepada orang.Jangan diungkit-ungkit dan dikenang-kenang.

Kembalikan segala kebaikan yang kita buat itu kepada Allah. Rasakan seolah-olah kita tidak pernah berbuat baik kepada orang. Lebih-lebih lagi, kita kena lupakan segala amal ibadah yang telah kita buat kepada Allah. Jangan diungkit-ungkit atau dikenang-kenang.

Rasakan seolah-olah kita tidak beramal. Dengan itu moga-moga hati kita tidak dilintasi oleh rasa ujub, sum’ah atau riyak atau rasa diri baik dan mulia.

Kedua:

Lupakan kejahatan orang terhadap diri kita. Anggaplah seolah-olah tidak ada siapa yang bersalah dengan kita supaya tidak tercetus rasa marah atau dendam terhadap orang.

Lebih-lebih lagi hendaklah kita lupakan segala kesusahan dan ujian, musibah atau mala petaka yang Allah timpakan kepada kita seperti sakit, kematian, kerugian, kemalangan dan kegagalan.

Atau banjir, kemarau, ribut taufan, tsunami, wabak penyakit, kemeseletan ekonomi dan sebagainya. Supaya tidak tercetus perasaan tidak sabar dan tidak redha dengan ketentuan Allah.

Wednesday, July 18, 2007

Renungan untuk mengubah sikap

Renungilah kata2 madah ini, moga2 madah ini dapat mengingatkan kita tentang dosa yang selalu kita lupakan , moga dengan mengingati dosa , datang rasa2 kehambaan , kerana rasa2 inilah yang Tuhan mahu di dalam sebarang tindakan;


1- "Setiap hari kiralah dosa-dosa kamu, setidak-tidaknya mengingatinya, janganlah kenang kebaikan kamu, anggap sahajalah tidak ada kebaikan"


2- "Merintihlah dengan dosa, janganlah merintih dengan buta, menangislah dengan dosa, jangan menangis dengan orang menghina, sedihlah dengan dosa, janganlah sedih dengan orang kata."



3- "Kita hamba Allah ini kenalah menyesal selalu, lebih-lebih lagi di waktu bersalah, mengeluhlah selalu nasib kita belum tahu, merintihlah selalu terutama dengan dosa-dosa kita, mengakulah lemah di hadapan Tuhan sekalipun kita serba ada, menangislah selalu kerana kita tidak dapat elak dari dosa moga-moga dengan cara ini Allah rahmati kita."

4- "Jika kita mengingati dosa kita, tidak nampak lagi kebaikan kita, apatah lagi untuk dibanggakan"

5- "Jika kita membuat dosa, tidak terasa dengan dosa, kita telah membuat dua kali dosa, satu kerana dosa yang dibuat, keduanya kerana tidak merasa berdosa."


6- "Rasakanlah diri kita sentiasa berdosa, sekalipun kita tidak nampak dosa kita, apatah lagi jika nampak, agar kita dapat mengekalkan sifat kehambaan yang kita ini memang hamba."




7- "Sebenarnya hukuman Allah kepada manusia di atas kesalahannya setiap hari berlaku. Cuma berat atau ringan dan bentuknya tidak sama di antara satu sama lain. Namun manusia tidak mahu juga dijadikan pengajaran. Justeru itu layaklah manusia ini dihukum sekali lagi di Akhirat kelak".




8- "Banyak orang mengambil berat tentang dosa-dosa lahir tetapi mengabaikan dosa-dosa batin."


9- "Banyakkan mengingat dosa-dosa kita daripada mengingat amal kebajikan kita, cara ini lebih menyelamatkan kita di Akhirat kelak."


10- "Orang yang halus perasaannya, orang lain yang bersalah dia yang rasa bersalah, orang lain yang buat dosa dia yang merasa berdosa, ada orang mati kelaparan, dia yang merasa bersalah. Betapalah kalau dia sendiri yang bersalah atau buat dosa, terseksa jiwanya sepanjang masa."


11- "Dosa walaupun kecil jangan diremeh-remehkan, dosa tetap dosa, dosa tetap dianggap derhaka, dosa sekalipun kecil kalau Allah tidak ampunkan tetap Neraka."



12- "Adakalanya orang yang menyalahkan orang yang membuat salah, dosanya lebih besar daripada orang yang membuat kesalahan, atau membuat dosa kalau dosa itu tersembunyi dibongkarnya, atau menuduh atau menghukum, terlebih atau keterlaluan daripada kesalahan yang dibuatnya."


13- "Dua orang atau lebih yang membuat satu dosa yang sama nilainya, setiap orang itu rasa berdosa tidak sama, mesti ada lebih, ada kurangnya mengikut ketaqwaan masing-masing, atau mengikutlah tingkatan iman masing-masing."


14- "Kalau orang telah mengabaikan dosa-dosa lahir, dosa-dosa batin lebih-lebih lagi terabai"


15- "Kalau seseorang itu tidak bimbang dengan dosa lebih-lebih lagi setelah terlibat dengan dosa tidak pun hati merintih dengan dosa itu ditakuti mati di dalam suul-khatimah."


16- "Hidup di dunia ini macam mimpi aja, kerana terlalu singkatnya dibandingkan hidup di Akhirat yang kekal abadi. Masanya tiada bertepi. Gambarkan kalau di Syurga alangkah indahnya, jika di Neraka alangkah parahnya."


17-"Tidak mesti benda yang besar itu bernilai atau yang paling bernilai. Di dunia ini benda yang paling bernilai dan mahal, ialah benda yang paling kecil iaitu intan dan mutiara. Begitulah amal ibadah di sisi Allah itu, Allah tidak mengukur tentang banyak atau dipandang besar, tapi amal ibadah yang paling ikhlas yang kita buat, sekalipun ibadah itu kecil sahaja pada pandangan mata manusia."


18-"Orang yang bergantung kepada amal ibadah, ibadahnya menghijab di antaranya dengan Allah."


19- "Anggaplah kita ini orang dagang di dunia ini, bahkan merasakan demikian setiap waktu, agar kita tidak terpaut dengan dunia, dan mendorong kita buat persiapan untuk balik ke Akhirat, dengan cara ini Insya-Allah kita akan selamat"


20- "Kalau seseorang itu dianggap bodoh kerana tidak membuat persiapan di hari tua yang masanya terlalu terbatas.Logiknya lebih bodoh lagilah orang yang tidak membuat persiapan di waktu selepas mati yang masanya tidak berkesudahan."

Sunday, June 10, 2007

harapan



Hari ini genaplah 20 tahun umurku , Terima kasih Tuhan Engkau membenarkan lagi aku menghirup udara-Mu, aku memijak di bumi ciptaan-Mu , aku bernaung di bawah langit-Mu , Engkau izinkan lagi aku makan rezeki yang Engkau curahkan di muka bumi-Mu ini ,Engkau perlihatkan lagi kekuasaan-Mu , Maha Baiknya Engkau Tuhan , entah apa lagilah yang Engkau beri padaku , tidak dapat aku fikirkan, susah untuk aku menulis kerana terlalu banyaknya yang Engkau kurniakan kepadaku , Sayangnya Engkau padaku Tuhan , tapi aku sahaja yang tidak pandai untuk menghargai cinta-Mu Tuhan, dengan rahmat-Mu Tuhan ajarkanlah aku untuk mencintai dan mentakuti-Mu Tuhan , agar aku pandai bersyukur atas kurniaan-Mu , Agar aku menjadi hamba yang tahu nilai kasih saying-Mu , moga aku tergolong dari golongan orang yang sedikit, itulah orang-orang yang pandai bersyukur , amin Ya Rabbal Alamin.......

Wednesday, May 16, 2007

MATLAMAT HAMBA ADALAH ALLAH



"Matlamat orang-orang muqarrobin ialah Allah. Mereka memburu Allah. Dapat Allah dapat semuanya. Hilang Allah hilanglah semuanya. Allah sumber keselamatan bahkan Allah itu segala-galanya.Mereka menagih cinta dan kasih sayang Tuhan.Mereka sangat takut dan bimbang kalau tersisih dari cinta dan rahmat Tuhan"

Sudah menjadi tabiat hamba sukakan nikmat dan bencikan kesusahan. Manusia akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan nikmat dan akan juga berusaha sedaya upaya untuk mengelak dari kesusahan. Manusia suka pada yang baik dan benci pada yang buruk. Manusia sukakan berita gembira dan takutkan ancaman seksa. Dalam mendidik manusia, Allah ambil kira perkara ini. Sebab itu dalam kita berdakwah, kita disyaratkan supaya menyampaikan tabsyir (berita gembira) dan tanzir (berita buruk). Ini perlu supaya manusia terdorong untuk membuat kebajikan dan akan takut untuk membuat kemungkaran. Ini sudah cukup untuk mengawal orang-orang yang beriman supaya mereka berbakti kepada Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Di dalam Al Quran sendiri penuh dengan tabsyir dan tanzir. Allah janjikan pahala bagi orang-orang yang beriman dan yang beramal soleh. Allah ancam orang-orang yang ingkar dan derhaka dengan dosa. Allah janjikan orang-orang yang taat dengan Syurga dan segala macam keindahan dan nikmat-Nya. Dan Allah ancam orang-orang yang ingkar dengan Neraka dan segala macam seksaan-Nya. Bagi orang-orang soleh, mereka sangat cintakan Syurga dan sangat takutkan Neraka. Perasaan cintakan Syurga ini mendorong mereka untuk berbuat sebanyak-banyak ibadah dan kebajikan. Perasaan takutkan Nereka pula mengawal dan menghindarkan mereka daripada berbuat maksiat dan kemungkaran.

Namun demikian, keadaan seperti ini tidak berlaku kepada orang-orang muqarrobin (orang-orang yang hampir dengan Tuhan). Orang-orang muqorrobin tidak mengaitkan ibadah dan amal kebajikan mereka dengan pahala atau Syurga. Mereka juga tidak mengelakkan diri dari membuat maksiat dan kemungkaran atau dasar takutkan dosa dan Neraka. Dalam apa yang mereka lakukan dan usahakan, ia bersabit terus dengan Allah. Pendorong bagi mereka beribadah dan membuat sebanyak-banyak kebajikan dan penghalang yang menghindar mereka dari terlibat dengan maksiat dan kemungkaran ialah semata-mata cinta dan takut mereka kepada Allah itu sendiri. Soal pahala dan dosa dan soal Syurga dan Neraka tidak terlintas di dalam fikiran dan hati mereka.

Matlamat orang-orang muqarrobin ialah Allah. Mereka memburu Allah. Mereka mahu mempunyai dan memiliki Allah. Dapat Allah dapat semuanya. Hilang Allah hilanglah semuanya. Allah sumber keselamatan bahkan Allah itu segala-galanya. Mereka menagih cinta dan kasih sayang Tuhan. Mereka sangat takut dan bimbang kalau tersisih atau terpinggir dari cinta dan rahmat Tuhan. Bagi mereka, Syurga dan Neraka itu hanyalah makhluk ciptaan Tuhan seperti mereka juga dan tidak layak dijadikan matlamat. Orang-orang muqarrobin juga tahu bahawa Syurga itu terlalu mahal untuk dibeli dengan amal ibadat dan pahala. Tidak ada siapa yang dimasukkan ke Syurga kerana pahala dan amalan mereka. Tidak juga Rasulullah SAW sendiri. Manusia dimasukkan ke Syurga semata-mata kerana rahmat Allah. Justeru itu sepatutnyalah manusia berusaha untuk mendapatkan cinta dan rahmat Allah kerana inilah jalan keselamatan. Memburu Syurga belum tentu akan menghasilkan rahmat dan kasih sayang Tuhan. Tanpa rahmat dan kasih sayang Tuhan, apalah ertinya kehidupan dan kewujudan ini.