Saturday, April 7, 2007

PEDOMAN UNTUK PEJUANG KEBENARAN


Di bawah ini adalah peristiwa iktibarsejarah yang patut dijadikan pedoman oleh para pejuang Islam yang rindukan pertolongan dan kemenangan dari Tuhan.Suatu ketika Rasulullah SAW sedang berdoa di pinggir Kaabah, baginda dihampiri oleh Khabbab Al Arrad .Dia lantas berkata kepada Rasulullah SAW,"Apakah belum masanya bagi Rasulullah mendoakan memohon kemenangan bagi pihakkita?Jawab Baginda SAW:"Engkau tergesa-gesa ya Khabbab,sedangkan belum terbukti di antara kamu orang-orang yang ikhlas dan berkorban.Umat terdahulu ada yang digergaji hingga terbelah dua namun dia tidak mencampakkan keIslamannya."Rintihan dan rayuan Khabbab itu dianggap tergesa-gesa oleh Rasulullah SAW.



Khabbab tentu punya alasan untuk meluahkan rintihannya itu kerana selain pengalamannya sendiri dia juga menyaksikan betapa sengsara dan tertindasnya mereka diperlakukan oleh golongan kafir. Tentulah terlalu berat penanggungan derita yang dialami oleh mereka. Namun Rasulullah SAW menuntut bukti iaitu ikhlas dan pengorbanan.Ertinya berjuang tanpa sedikit pun dicelah oleh sebarang kepentingan,kerana agama ini adalah kepunyaan Allah SWT. Maka tiada lain niat dan matlamat kecuali ` mardhatillah`.Pengorbanan sudah pasti semaksima mungkin seperti yang dicontohi oleh parasahabat. Kemuncaknya adalah nyawa. Berkorban ertinya terkorban. Terkorban ertinya ada sesuatu yang hilang atau lenyap dalam hidup para pejuang. Sama ada harta, tenaga, privacy, leisuretime, kesenangan hidup hatta nyawa sekalipun.

Sunday, April 1, 2007

MEMBAJA JIWA



Dari Anas r.a, Rasulullah SAW bersabda:"Memadailah dengan mati itu sebagai pengajaran (penasihat, peringatan)." (Riwayat Tabrani)Dalam menempuh hidup yang penuh ranjau ini umat Islam perlu memiliki sifat dan sikap positif. Umat perlu cekal, tabah, sabar, kuat kemahuan, bercita-cita tinggi, bersemangat kental, bersungguh-sungguh mahu maju ke hadapan. Manakala sifat dan sikap negatif perlu dikikis, dibuang dan dihindari. Sewajarnya tidak ada dalam kamus hidup umat Islam erti kecewa, kecundang, tewas, mundur dan menyerah kalah. Andainya berlaku juga kegagalan, biarpun seribu kali, anggaplah kegagalan itu sebagai anak kunci kepada seribu kejayaan. Umat Islam sentiasa berhadapan dengan berbagai cabaran. Andainya kini kita mundur dan tewas generasi warisan akan merasa kesal dan kecewa. Sedang umat Islam bergelut untuk menguasai berbagai bidang kemajuan, di waktu yang sama keruntuhan akhlak masyarakat berlaku dengan serius, Marilah kita semua menyuburkan jiwa agar sentiasa segar, ceria, bermaya, teguh dan utuh. Kerana ini merupakan modal penting dalam pertarungan di sudut atau aspek apapun. Kalau kita menyingkap sejarah orang-orang yang berjaya, di sana terselit satu rahsia yang jarang tersingkap iaitu kekuatan jiwa. Bajailah jiwa dengan banyak mengingati mati serta perkara yang bersangkutan dengannya.




Rasulullah SAW meletakkan kedudukan mengingati mati itu sebagai mencukupi dan memadai sebagai juru nasihat, pemberi ingat, menjadi iktibar dan tali kekang, pengawal hala tuju kehidupan umat Islam. Mengingati mati membawa natijah kepada pembinaan sifat-sifat positif dan menguatkan jiwa. Ianya juga sebagai pengawal dari terjerumus kepada perkara-perkara negatif. Apabila seseorang akan terlajak atau terlanjur, dengan mengingati mati nescaya akan kendur nafsu yang rakus dari berbuat kejahatan. Apabila terasa lemah dalam menghadapi godaan dan pujuk rayu syaitan, kekuatan jiwa akan kembali segar apabila ingat bahawa kita akan berhaadapan dengan Allah SWT selepas mati. Seseorang tidak akan mudah terpesong aqidahnya dan tidak mudah jatuh ke lembah maksiat dan mungkar sekiranya dia ingat bahawa hidup ini sementara yang sedetik bagaikan mimpi. Sebaliknya Akhirat kekal dan abadi. Kesenangan dan kesusahan dunia ini terlalu kecil berbanding kesenangan dan kesusahan Akhirat. Oleh itu janganlah kerana memburu kesenangan yang sedikit dan takut kepada kesusahan yang kecil sampai menderhakai Allah SWT hingga terlepas dari kesenangan yang hakiki dan abadi serta dilemparkan ke Neraka yang merupakan azab sengsara yang hakiki.